Saturday, July 17, 2010

musim exam tiba lagi

cepat benar masa berlalu, hari tu baru lepas exam..tup2 esok lusa exam lagi...exam menguji sejauh mana tahap kefahaman kami para pelajar.

Untuk semester ini, aku ambil 8 paper. Bermula 19 Julai ini, untuk madah ikhtiari.(intishar islam fi afrika).Dan bersambung kembali pada 25 Julai Hingga 5 Ogos untuk 7 Subjek teras bagi semester ini...

Insyaallah najah semester ini, aku akan mula melangkah ke semester 7.Moga Allah mudahkan perjalanan aku dalam menuntut ilmu. Biarlah langkah pengajian aku ini seiring dengan penambahan ilmu di dada. Semoga aku tak pulang ke tanah air dengan dada yang kosong.

Program dakwah pula akan bermula pada 9 ogos sehingga 27 ogos. hampir 3 minggu aku akan keluar dari daerah khartoum. HArap-harap dapat melihat tempat baru di sudan. Moga aku kuat juga melalui program ini di dalam ramadhan. Insyaallah ramadhan kali ini akan terisi dengan kebaikkan.

Doa dari kalian amat diharapkan...

Sunday, July 11, 2010

penyakit futur

Futur


Dirujuk dari kitab : Afat ‘Ala Tariq.

Karangan : Dr. Said Mohd Noh.

Di dalam buku ini pengarang cuba memngupas dan membicarakan tentang penyakit-penyakit yang mungkin dihadapi olah para pendakwah dan mukmin itu sendiri dalam melalui liku-liku kehidupan seharian sebagai hamba Allah yang beriman.Pada kali ini saya ingin berkongsi tentang penyakit pertama yang disenaraikan oleh pengarang kitab Al-Afat ‘Ala Tariq. Semoga kita semua beroleh kemanfaatan dan cuba merawat penyakit-penyakit yang mungkin menjangkiti diri kita sendiri.

Makna Futur dari segi bahasa terbahagi kepada dua :

1) Terputus daripada penerusan ataupun terhenti dari pergerakan.

2) Malas atau lembap selepas kesungguhan dan kerajinan.

Manakala dari segi istilah pula Futur membawa makna :

Sejenis penyakit yang berkemungkinan berjangkit kepada para pendakwah atau para pekerja di jalan Islam. Darjat yang paling rendah ialah malas,perlahan atau lembap. Darjat yang paling tinggi pula ialah terputus atau terbehentti daripada pergerakan yang berterusan dan kesungguhan yang jitu.

Seterusnya mari kita melihat kepada sebab-sebab terhinggapnya penyakit Futur di kalangan kita :

1) Ekstrem atau terlalu berlebih-lebihan dalam agama.

Rasulullah s.a.w menganjurkan dalam sabdanya yang bermaksud;“Jangan kamu memberat-beratkan diri. Nanti akan diberatkan ke atasmu.”(Riwayat Abu Daud)

Tidaklah seseorang memberatkan diri dalam bergama, melainkan ia akan dikalahkan olehnya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Oleh itu, pembimbing tarbiyah mestilah mendidik aktivis dakwah untuk mengikuti anjuran Rasulullah s.a.w dalam hadith yang bermaksud;“Lakukanlah amal sesuai dengan kemampuanmu kerana sesungguhnya Allah tidak merasa bosan sehingga kamu sendiri merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang dilakukan secara rutin walau pun sedikit.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

2) Berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu perkara yang harus.

Contohnya, berlebih-lebihan ketika makan sehingga menjadikan badan terasa berat dan malas untuk berkerja sehingga akhirnya seseorang itu tidak melakukan sesuatu pekerjaan yang ingin dilaksanakan.

3) Keluar dari jemaah dan mengasingkan dirinya.

Apabila seorang aktivis suka bersendiri, maka dia telah hilang satu benteng pertahanan dari syaitan kerana Rasulullah s.a.w bersabda bahawa syaitan itu lebih dekat kepada seorang dari kepada dua orang dan lebih dekat kepada dua orang dari kepada tiga orang. Syaitan ibarat serigala yang sentiasa mengintai kambing yang terasing dari kumpulannya. Pastinya syaitan akan sentiasa berbisik agar seseorang itu meninggalkan amal dakwah. Oleh itu, aktivis dakwah mestilah dididik untuk melazimi teman-teman aktivis seorganisasi bagi mengelakkan futur. Pembimbing tarbiyah pula mestilah berusaha untuk sentiasa membina kemesraan aktivis dakwah dengan organisasinya dan memastikan kemesraan yang berterusan sesama aktivis.

4) Kurang mengingati mati dan hari akhirat.

Antara faktor pendorong kuat dalam amal dakwah ialah hasrat mendapat pahala, rasa rindu dengan syurga, takut akan dosa dan seksa neraka. Kesemua ini berkaitan dengan mengingati akhirat. Oleh itu, apabila mengingati akhirat berkurangan, ia akan diganti dengan ingatan kepada benda-benda lain. Natijahnya faktor pendorong menjadi lemah dan futur menguasai diri. Maka sebab itulah penting bagi aktivis dakwah untuk ditarbiyah agar mempunyai rutin ibadah tertentu yang akan terus mengingatkannya akan akhirat, bukan hanya bercakap mengenai fikrah atau menumpu pada kemahiran semata-mata.

5) Berlengah-lengahan atau kurang dalam melakukan ibadah seharian.

Kita tidak boleh mengambil ringan dan berlengah-lengah dalam melakukan ibadah seharian kerana sikap suka berlengah-lengah ini akan membawa kepada sesuatu yang lebih rumit dipengakhirannya.

6) Terjebak dengan sesuatu yang haram atau syubhah.

Manusia akan pasti melakukan kesilapan dan dosa tetapi ia tidak boleh mempunyai sikap toleransi dengan dosa atau bertoleransi setelah melakukannya kerana dosa akan membina titik hitam. Jika titik itu tidak dibiarkan ia akan melemahkan semangat dan mengakibatkan futur.

7) Mengecilkan skop amal dalam Islam.

Antara punca rasa jemu ialah tiada kepelbagaian. Oleh itu, pembimbing tarbiyah hendaklah membimbing para aktivis dakwah untuk mempelbagaikan segala tidakannya. Dia mesti mempelbagaikan ibadah mereka agar apabila mereka jemu pada satu ibadah, mereka masih melazimi satu ibadah yang lain. Dia mesti mempelbagaikan corak amal dakwah mereka agar mereka tidak mudah jemu dan bosan. Dengan itu, kemungkinan futur menjadi rendah.

8) Tidak dapat menerima sunnatullah dalam kehidupan.

Futur berlaku juga apabila seseorang itu dalam melakukan amal dakwahnya tanpa mengikut aturan alam seperti mahu satu perubahan yang segera dan cepat, tidak realistik dengan harapannya, sehingga apabila usahanya selalu gagal, ia menjadi putus asa.

9) Tidak menjaga hak badan disebabkan terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan tetapi sedikit tenaga pekerja yang ada.

Rasulullah s.a.w bersabda yangbermaksud;“Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak atasmu, dirimu mempunyai hak atasmu,keluargamu juga mempunyai hak atasmu. Oleh itu, berikan setiap yang punya hak, akan haknya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Selain pembimbing tarbiyah sentiasa memerhatikan aspek ini dalam diri para aktivis, dia hendaklah memastikan agar tidak menjadi punca para aktivis mengabaikan hak-hak yang lain dengan memberi tugas-tugas atau tuntutan yang berlebihan.

10) Tidak ada persediaan dalam menghadapi duri-duri di jalan dakwah.

Jalan dakwah sentiasa dipenuhi oleh ujian. Seseorang yang tidak bersedia atau mempunyai persiapan akan pasti ditewaskan oleh ujian ini. Maka sebab itulah penting bagi aktivis dakwah untuk melalui program tarbiyah yang sistematik sebagai salah satu mekanisme persiapan di jalan dakwah. Pembimbing tarbiyah tidak boleh hanya seronok melihat kesibukan aktivis dakwah dengan pelbagai projek sehingga tidak ada masa untuk tarbiyah.

11) Bersahabat dengan sahabat yang mempunyai keinginan dan cita-cita yang rendah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bemaksud;“Seseorang itu mengikut agama temannya kerana itu hendaklah kamu melihat orang yang kamu jadikan teman.”

(Riwayat Abu Daud)

Maka sebab itu penting bagi pembimbing tarbiyah untuk membina kemesraan dengan para aktivis dan kemesraan sesama mereka. Dengan kemesraan itu, mereka saling mengasihi dan menjadi teman yang terbaik antara satu sama lain. Dengan itu juga, mereka tidak condong kepada golongan-golongan lain untuk dijadikan teman.

12) Bekerja untuk dakwah tanpa bersistem.

Apabila seseorang bekerja tanpa mengikut sistem dan perancangan yang baik dia akan memenatkan diri sendiri dan kurang mendapat hasil yang baik. Ini pastinya akan menjejas semangat dan komitmennya. Menjadi tanggungjawab pembimbing tarbiyah untuk menyepadukan pembinaan kemahiran yang betul sebagai sebahagian dari program tarbiyah bagi mengelakkan faktor ini. Di samping itu, pembimbing tarbiyah sendiri mestilah menjadi contoh yang baik.

13) Jatuh ke dalam maksiat, samada dosa kecil mahupun dosa besar serta tidak kisah dengan maksiat yang dilakukan.