Wednesday, March 18, 2009

rondaan PPMSI.....pengalaman itu satu pendidikkan...

bismillahirrahmanirrahim....
sekarang,aku sedang membuat rondaan pintas mendapatkan maklumat tentang isu hangat yang melanda negaraku Malaysia. Sungguh! aku sebenarnya agak ketinggalan dengan isu-isu yang diperbahaskan di tanah air sendiri.Mungkin kini, aku cuba menebus kesalahanku dengan kudrat dan masa yang terbatas.
Posting kali ini hanya sekadar muqadimah kepada posting yang akan datang,kerana aku belum siap untuk berkongsi lebih panjang tentang isu PPSMI yang meragut banyak ketenteraman jiwa rakyat malaysia termasuk adik-adikku tercinta.

untuk kali aku lebih gemar berkongsi pengalaman yang aku perolehi sepanjang rondaan dibuat,

Dalam proses mencari dan memahami aku sebenarnya banyak belajar sesuatu yang baru.Kini aku berani mengakui bahawa medan pengajian dan pembelajaran tidak terhad di dalam dewan kuliyah sahaja, tetapi seluruh kehidupan itu mengajar kita dan memberi kita ilmu yang baru.Hakikat ini membuatkan aku lebih yakin untuk mencuba sesuatu yang baru dalam hidupku,kerana selepas kita mencuba kita akan mendapatkan satu ilmu baru yang mungkin belum pernah kita ketahui sebelum ini dan tak pernah kita cuba ketahui.

Terima kasih kepada Rabb yang memberi aku peluang mempelajari banyak perkara.Moga medan elektronik ini membuka mataku dan mencelikkan jiwaku tentang apa yang perlu aku laksanakan untuk anak bangsaku.



p/s : pepetah melayu ada menyatakan,
"bahasa jiwa bangsa"

Saturday, March 14, 2009

jantung hati



copy paste dari pujangga-kembara.blogspot.com

Kerajaan Di Hati.
Rajanya mengait langit memayung rakyat.
Rakyat berteduh bawah awan kasih.
Raja menakung keringat menyemai berkat.
Rakyat mekar mengembang hormat.
Permaisuri menjalin tirai cinta,
melapis negara dari bahang sengketa.
Menyulam selimut bahagia ribu warna,
membungkus jelata dari beku derita.
Harta negara dikongsi rata.
Tika kemarau sama berpuasa.
Kala hujan sepakat merasa.
Membulat kata membola suara.
Berpadu jiwa berkongsi rasa.
Kerajaan di hati negara di jiwa.
Doaku pinta kekal selama.
Abadi di dunia bersama di syurga.
Kerajaanku sedang dibina,
menunggu puteri menjunjung atma.
Siddiq Osman.
28 Julai 2008
Malam-malam sunyi.

kerajaanku bagaimana?

kerajaanku masih jauh nun di sana,masih di luar batasan minda.Walaupun itu hakikatnya,aku perlu membina, disaat ini jua agar kerajaan yang bakal terbentuk sempurna acuannya seperti kehendak yang Maha Esa. Moga rakyat yang bakal menjelma, aman dan bahagia serta tinggi kualitinya.

puisi latihan, sudan pilihan.

tanah gersang memanggil datang,
dipasak kuat dorongan abang,
ibu dan ayah tidak menghalang,
terlalu yakin anak mereka matang.

tibaku disambut angin petang,
bersama abang dua perangsang,
bila malam menjelang jemputan pun datang,
perut diisi hingga kenyang.

sebulan berarak mencari teduhan,
terasa sungguh satu ujian,
hati kental terus berhadapan,
ke sana ke sini mencari habuan.

pastiku simpan menjadi kenangan,
tawaran menyewa penuh penjimatan,
hati senang gembira berangan,
menanti kehidupan rumah bujangan.

bahagia menyinggah hanya seketika,
rumah tawaran di depan mata,
mulut tertutup tidak terkata,
janji rumah tapak semata.

ujian pertama menitiskan mutiara,
keputusan diambil mencari asrama,
biarpun berat hati terpaksa,
inilah ketentuan Maha Perkasa.

cerita asrama panjang tak terkira,
akanku cuba memendekkan sahaja,
hidup di sana berbagai negara,
namun semuanya Afrika belaka.

asrama dijejak tanpa kekuatan,
langkah menyusur menarik pandangan,
masuk disambut satu pergaduhan,
membuatkan jiwa hilang harapan.

hidup di sini bagai alien jadian,
semua pergerakkan jadi santapan,
sering dihujani soalan ajaiban,
tilawah didengar memastikan kebenaran.

asrama nun jauh jadi cabaran,
berulang alik di bawah pancaran,
kepala berat terasa kepeningan,
meredah panas bukan sebarangan.

pasir dan debu kehebatan Sudan,
roti dan salatoh jadi kemestian,
tokmiah dan ful menambah kesedapan,
jalabiah dan tok serata jalan.

ilmu dituntut di Markaz Islam,
seluruh dunia pelbagai macam,
kami berkongsi adat dan resam,
budaya bertembung pelbagai ragam.

tanah Sudan tiada hiburan,
tanah ini tanah kekuatan,
tanah ujian penuh cabaran,
tanah membina islam harapan.

bumi kedua jadi kesayangan,
membentuk dalaman natijahnya luaran,
hati terpaut Sudan berkenan,
lagi dua tahun mungkin tambahan.

Tuesday, March 10, 2009

qur'an dan sunnah masdar ummah


Sabda Nabi s.a.w:
" Sesungguhnya telahku tinggalkan kepada kamu 2 perkara
jika kamu berpegang teguh dengan keduanya(Qur'an dan Sunnah),
pasti kamu tidak akan sesat."

Suka saya untuk berkongsi dengan para pelawat teratak ini tentang satu hadith daripada arbain Nawawi(Hadith 40)....Hadith yang ke 10. Moga kita sama-sama mendapat manfaat dari hadith Junjungan mulia ini.

Mafhumnya:
Dari Abu Hurairah r.a. katanya,Rasulullah s.a.w bersabda:Sesungguhnya Allah s.w.t. itu baik, tidak Allah terima melainkan sesuatu yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang Allah perintahkan kepada sekalian Rasul. Maka Allah berfirman:(Wahai sekalian Rasul! Makanlah dari segala yang baik-baik dan beramallah dengan amalan kebaikkan). Dan Allah berfirman lagi:(Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Makanlah dari yang baik-baik yang telah Aku rezekikan kepada kamu). Kemudian disebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut rambutnya,berdebu pula mukanya,lalu mengangkat kedua tangannya ke langit dan berdoa: (Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram,dan mulutnya disuapkan dengan makanan yang haram,pakaiannya haram serta bercampur dengan perkara yang haram.Bagaimanakah akan diperkenankan baginya?
(Riwayat Muslim)

Subhanallah, sungguh sempurna deen ini, merangkupi segenap aspek kehidupan,bersih dari segala kekotoran, suci dari segala najis yang menjijikkan...sehingga soal mencari makan dan minum serta pakaian dipesan untuk kita mendapatkan yang halal. Sungguh Islam itu terlalu cantik mana mungkin boleh bercampur dengan sesuatu yang jelik.
Namun kita sekarang terlalu memandang remeh soal ini, ramai diantara kita yang tak kisah bertenggek di kedai apek menegukkan minuman di sana,membeli barang makanan tanpa usul periksa kandungannya,melantak tak tentu hala tempatnya.
Kemudian bila kita menadah tangan kita ke langit,kita marah mengapa doa kita tidak dimakbulkan sedangkan kita telah banyak bermohon dan bermunajat tak kira waktu.

Salah siapa sebenarnya???...

Sedangkan kita sendiri yang mencari dan melibatkan diri kita dengan sesuatu yang Allah haramkan. Jadi tepuklah dada kita,dan tanyalah hati sendiri,pasti hati ada jawapannya.

Sedikit penekanan yang ingin saya utarakan.Ketahuilah oleh kita semua bahawa
Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.Allah akan memakbulkan permintaan hambaNya.
Sepertimana firman Allah yang bermaksud:(berdoalah kepada Aku,pasti akan Aku kabulkannya)

Jesteru itu ingin saya kongsikan satu lagi hadith yang diriwayatkan oleh iman Ahmad,Abu Daud dan Termizi.Dari Salman Al-Farisi r.a. telah bersabda Rasulullah s.a.w.:(Sesungguhnya Allah s.w.t amat malu untuk menolak doa hambaNya yang menadah tangan ke langit lalu bermohon kepadaNya)

Saya juga terpanggil untuk berkongsi satu kisah yang baru diperdengarkan kepada saya,kisah bapa kepada said ataupun lebih dikenali sebagai (badiuzzaman sayyid nursi). Tentang bagaimana bapanya begitu menjaga jalan-jalan untuk mendapatkan rezeki yang halal.

kisahnya bermula begini,Guru said berhajat untuk mengetahui rahsia didikkan said dirumah,maka pergilah gurunya untuk menziarahi keluarga said.Setibanya di rumah said,guru tadi mendapati bapa said tiada di rumah.Maka tunggulah dia akan kepulangan bapa said,tidak lama selepas itu pulanglah bapa said dengan seekor lembu.Lembu tersebut telah diikat mulutnya dengan seutas tali.Belum sempat guru tadi bertanya akan sebab mulut lembu itu diikat,telah berkata bapa said:aku mengikat mulut lembu ini kerana perjalanan aku untuk pulang dari ladang ke rumah,aku perlu melalui beberapa kebun lain dan aku khuatir jika lembu aku meragut mana-mana tumbuhan di tepi laluan kami.

Cuba kita renungkan,bagaimana orang alim menjaga dan prihatin dengan setiap sumber yang masuk kepada mereka,sehingga membuahkan benih-benih yang terlalu bernilai dan bermutu harganya untuk islam.Bertepatan dengan itu, fahamilah akan akal kita, bahawa bila kita ingin menghasilkan sesuatu produk yang bermutu hendaklah kita meneliti setiap satu proses rangkaan produk itu dengan penuh tumpuan dan perincian..

Wallahhu'alam...

Sunday, March 8, 2009

Aku dan IsLaM

Aku,
aku seorang hamba,
dilahirkan hasil kasih dua hamba,
lahirku dengan satu ikatan janji,
menjulang deen menebar kebenaran.
aku bahagia dengan takdir penciptaanku,
kerana aku bukan siapa-siapa,
aku hanya seorang anak,
hidup meraih redha Maha Pencipta,
seterusnya menggapai restu orang tua.
aku gembira dengan senyuman ibubapaku,
aku terluka melihat kemurkaan mereka,
aku bersyukur kerana dikurniakan mereka,
doaku buat mereka...
moga bahagia dalam rahmatNya.
aku dididik mengenal Pencipta,
dari kandungan hingga ke alam nyata,
ibu selalu mengulang...
Allah selalu bersama kita,
Allah sering melihat kita,
Allah sentiasa memerhatikan kita,
setiap masa dan ketika,
pesanan ibu kusemat disanubari.
hari berlalu meninggal pergi,
kini aku jauh berdiri,
bersama dua putera hati,
di benua Afrika menggali mutiara islami.
ramai mengata kami buta,
lari meninggal hamparan kemewahan,
mengejar kesusahan yang tak terkira,
bergelut jenuh dengan kepayahan,
menepis angin bersih, mencari debu pasir.
namun,
apa salahnya menjadi pelik,
andai hajat menjadi luar biasa,
muslim itu bukan biasa,
malahan asing lagi berbisa.
islam,
islam itu dari Tuhan,
islam itu keadilan,
islam itu fitrah kehidupan,
islam itu ketenangan.
aku bangun untuk hidup dengan islam,
aku corak masa depanku dengan acuan islam,
aku semai akhlakku dengan kecantikkan islam,
aku ingin hidup dan mati ditangan islam.
namun,
aku cuma manusia,
terbina atas kalimah nasia,
aku sering kali terlupa,
kadang-kadang lalai dengan tipuan dunia.
kerana itu,
islam tidak boleh digenggam berseorangan,
tidak mampu tertegak tanpa persepakatan,
islam perlu jemaah,
buat peringat memperingati,
lengkap melengkapi,
kasih mengasihi.
islam itu milik Allah,
Allah pasti memeliharanya,
Allah akan menjaganya,
islam pasti kekal selamanya,
buat maslahat manusia semuanya.
aku sayang islam,
aku cinta islam,
aku ingin kekal menjadi penganutnya,
buat selama-lamanya.
terima kasih Allah atas nikmat iman dan islam....